Ahad, 18 September 2011

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 1

Bentuk Muka Bumi dan Potensi di Kawasan Setiawangsa 
dan Perbandingannya dengan Negara Indonesia

Contoh folio ini adalah folio anak saya yang belajar di Tingkatan 1 yang disiapkan dengan bimbingan saya.  Dipaparkan untuk dikongsi bersama. Semoga ia dapat dijadikan contoh kepada anak-anak yang seangkatan dengannya. 

PENGHARGAAN
Saya dapat menyiapkan folio Geografi  saya dengan sempurna kerana bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak.
Sekalung budi kepada guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 1 saya iaitu Puan ...................... yang telah memberikan penerangan tentang format folio Geografi, dan memberi tunjuk ajar semasa proses pembuatan folio ini.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa saya iaitu ……………. dan ibu saya …………….. yang senantiasa member dorongan, galakan, membantu mencari maklumat dan member bantuan kewangan sepanjang saya menjalankan tugasan ini.
Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan yang sudi berkongsi maklumat berkaitan dengan Setiawangsa.
Terima kasih di atas bantuan anda semua.


PENDAHULUAN
Nama saya ............................  Saya adalah pelajar  Tingkatan 1 Setia  di Sekolah Menengah Kebangsaan ........................... Saya menjalankan kajian untuk folio Geografi  Tingkatan 1 bertajuk “Bentuk muka mumi dan potensinya di Setiawangsa dan perbandingannya  dengan negara Indonesia.
Saya memilih Taman Setiawangsa sebagai kawasan kajian saya kerana Setiawangsa merupakan sebuah kawasan kediaman dan komersil yang sedang membangun di tengah bandar raya Kuala Lumpur.  Selain itu, kawasan ini terletak berhampiran dengan kawasan tempat tinggal saya dan sekolah saya terletak di kawasan kajian ini.
Saya memilih negara Indonesia sebagai perbandingan pula kerana ia merupakan negara yang berhampiran dengan negara kita dan saya dapat memperolehi banyak maklumat tentang negara ini melalui buku-buku yang telah saya baca serta dengan melayari internet.
Saya mengambil masa selama lapan (8) minggu untuk mengumpul maklumat untuk menyiapkan folio ini.  Menerusi kajian ini, saya telah mendapat banyak maklumat yang berguna tentang Setiawangsa serta negara Indonesia.  Ini merupakan suatu pengalaman yang menarik dan menyeronokkan terutama semasa mengumpul dan mendapatkan data serta maklumat untuk kajian ini.


OBJEKTIF KAJIAN
Saya mengkaji bentuk muka bumi Setiawangsa dibandingkan dengan  negara Indonesia. Antara objektif kajian saya ialah:
  • Mengenal pasti  bentuk muka bumi yang terdapat di kawasan Setiawangsa dan bentuk muka bumi yang terdapat di negara Indonesia.
  • Mengenal pasti potensi bentuk muka bumi kepada kegiatan manusia di Setiawangsa dan negara Indonesia.
  • Mengenal pasti masalah yang berkaitan dengan bentuk muka bumi kawasan Setiawangsa dan  negara Indonesia
  • Menghuraikan langkah-langkah mengatasi masalah yang berkaitan di kawasan Setiawangsa dan  negara Indonesia
  • Bersyukur penduduk dapat menjalankan pelbagai pekerjaan di kawasan kajian saya.


KAWASAN KAJIAN
Latar Belakang
Saya telah memilih Setiawangsa sebagai kawasan kajian saya. Setiawangsa adalah jenis petempatan bandar di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan merupakan salah sebuah daerah dan kawasan parlimen di Kuala Lumpur. 
Bentuk muka bumi kawasan Setiawangsa adalah tanah bukit dan tanah pamah.  Setiawangsa dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu Puncak Setiawangsa yang terletak di kawasan puncak bukit, Bukit Setiawangsa yang terletak di kawasan tengah bukit dan Taman Setiawangsa yang terletak di kaki bukit.
Dahulunya Setiawangsa merupakan sebuah kawasan belukar yang luas yang terletak berhampiran dengan kawasan bekas lombong bijih timah, dan telah dibangunkan sebagai kawasan petempatan bagi menampung jumlah penduduk bandar Kuala Lumpur yang semakin bertambah.  
Kawasan ini mula dimajukan sebagai pembangunan bercampur yakni pada tahun 1980an oleh Syarikat Island & Peninsular Bhd (I&P). Kini, selepas dua dekad, Setiawangsa telah mengalami proses urbanisasi dan pembangunan bandar yang pesat  dan telah menjadi bandar raya satelit.  Kawasan ini telah dibangunkan sebagai kawasan kediaman dan kawasan komersil oleh Syarikat Island & Peninsular Bhd. Berdasarkan bancian penduduk pada tahun 2000, penduduk Setiawangsa dianggarkan berjumlah 133,500.  Komposisi penduduk Bumiputera ialah seramai 83,900 dan bukan Bumiputera ialah 49,600.

Perletakan Kawasan Kajian
Dari segi geografi, perletakan Setiawangsa ialah pada latitud 3011’2” dan longtitud  101044’58” dalam peta Malaysia.  Bentuk muka bumi di Setiawangsa ialah tanah tinggi dan tanah pamah atau tanah beralun.

Lokasi
Setiawangsa mempunyai keluasan seluas 16.94 km kagi persegi.  Lokasi kawasan ini adalah di Timur Laut Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Ia dilingkungi oleh kawasan-kawasan sekitar yang berhampiran iaitu Taman Keramat AU1 yang juga dikenali sebagai Keramat Permai, Taman Keramat AU2, dan Taman Keramat AU3.

Jarak
Kawasan ini terletak kira-kira 5 km daripada pusat bandar Kuala Lumpur.  Terdapat beberapa laluan jalan raya yang menghubungkan kawasan ini ke pusat bandar Kuala Lumpur seperti Jalan Taman Setiawangsa, Jalan Bukit Setiawangsa, Jalan Ampang, dan Jalan Enggang yang menembusi jalan besar iaitu Jalan Jelatek menuju ke pusat bandar raya.  Selain itu, Setiawangsa dihubungkan melalui Lebuh Raya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dan Lebuh Raya Duta – Ulu Kelang untuk ke pusat bandar.  Pengangkutan awam yang terdapat di Setiawangsa ialah bas, teksi, dan LRT.  Stesen LRT terdekat adalah LRT Setiawangsa dan LRT Jelatek.

Seterusnya, negara bandingan saya adalah negara Indonesia khasnya Pulau Jawa di mana 60% penduduk Indonesia tinggal di sini. Negara Indonesia terletak di antara benua Asia dengan benua Australia serta pada pertemuan dua banjaran, iaitu Banjaran Pasifik dan Banjaran Mediterranean. Negara Indonesia mempunyai 18,018 buah pulau yang tersebar di sekitar khatulistiwa. Hanya sekitar 7,000 buah pulau berpenghuni. Lima pulau yang terbesar ialah Pulau Jawa, Sumatra,  Kalimantan, Sulawesi, dan Papua.  Indonesia berada di kedudukan yang sering mengalami gempa bumi dan tsunami.  Kedudukan ini juga menyebabkan Indonesia memiliki sekurang-kurangnya 66 buah gunung berapi, termasuk Gunung Krakatau, sebuah gunung berapi yang terletak di Selat Sunda di antara Jawa dan Sumatera.
Di Indonesia, kegiatan ekonomi yang penting ialah pertanian terutamanya penanaman padi. Di Pulau Jawa, pertanian dijalankan di cerun bukit akibat kekurangan tanah pamah oleh kerana penduduknya yang sangat padat. Pertanian di Pulau Jawa juga dijalankan di kawasan gunung berapi yang ditereskan kerana lava bes yang ditinggalkan akibat letusan gunung berapi telah menyuburkan tanah di kawasan tersebut.

Lampirkan:
  • Peta kawasan kajian dalam peta Kuala Lumpur
  • Peta lakar kawasan kajian 
  • Peta negara Indonesia
KAEDAH KAJIAN
Kaedah kajian yang saya gunakan untuk menyiapkan folio ini ialah:
Pemerhatian
Selama menjalankan kajian ini, saya telah meluangkan banyak masa memerhati ciri-ciri bentuk bumi di kawasan Setiawangsa dan aktiviti-aktiviti ekonomi yang dijalankan.
Rujukan Buku Ilmiah
Saya telah menggunakan pelbagai sumber-sumber buku rujukan bagi memastikan mendapat fakta atau data yang tepat dan terperinci.  Saya juga merujuk kepada folio  Kajian Geografi Tempatan Tingkatan 2 abang saya untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai latar belakang kawasan Setiawangsa.
Melayari Internet
Dengan menggunakan teknologi yang sedia ada, saya telah melayari beberapa buah laman web untuk mendapatkan lebih banyak lagi maklumat tentang kawasan kajian yang tidak boleh didapati melalui pemerhatian. Antara maklumat yang berguna saya perolehi adalah mengenai latar belakang kawasan kajian dan peta kawasan kajian serta maklumat mengenai Negara bandingan, Indonesia.


HASIL KAJIAN
Jenis Bentuk Muka Bumi di Kawasan Setiawangsa dan Negara Indonesia
Di Setiawangsa terdapat dua jenis bentuk muka bumi.  Antaranya ialah tanah tinggi dan tanah pamah. Tanah tinggi atau kawasan berbukit merupakan salah satu bentuk muka bumi yang terdapat di Setiawangsa.  Bahagian Setiawangsa yang terletak di kawasan tanah tinggi ialah puncak Setiawangsa dan Bukit Setiawangsa.  Tempat ini berpotensi untuk pembinaan taman perumahan dan tempat penginapan. Tanah pamah adalah kawasan yang datar atau beralun. Ia adalah paling sesuai untuk petempatan, sistem pengangkutan, dan perindustrian, dan aktiviti perniagaan.  Taman Setiawangsa terletak di kawasan tanah pamah.
Saya telah mengenal pasti ciri-ciri bentuk muka bumi negara bandingan iaitu Negara Indonesia dengan menumpukan kajian saya terutamanya terhadap Pulau Jawa kerana pulau ini adalah pulau terpadat di Indonesia walaupun luasnya hanya7% dari seluruh wilayah Indonesia. Pulau Jawa terletak di Lingkaran Api Pasifik dan merupakan gunung lipat muda yang tidak stabil. Sistem gunung lipat muda ini berpunca dari Pusat Perbanjaran Pamir di pendalaman benua Asia merentasi Banjaran Himalaya ke Tanah Tinggi Annam, Myanmar dan Banjaran Barisan, Sumatera menganjur ke Pulau Jawa dan terus ke Sulawesi. Terdapat beberapa buah gunung berapi di Pulau Jawa seperti Gunung Semeru dan Gunung Merapi. Aktiviti gunung berapi di Pulau Jawa telah membentuk dataran lava bes yang subur seperti Tanah Tinggi Preanger, Dataran Tinggi Diens, dan Dataran Tinggi Rembang. Cerun-cerun bukit di dataran ini ditereskan untuk kegiatan pertanian terutamanya penanaman padi.

Potensi Bentuk Muka Bumi di Kawasan Setiawangsa dan Negara Indonesia 
Setiawangsa:
Bentuk muka bumi yang hampir rata dan beralun menyebabkan Setiawangsa menjadi tumpuan untuk kawasan petempatan utama dan untuk menjalankan  aktiviti perniagaan dan perkhidmatan.   Ekoran daripada pembangunan yang meluas di kawasan persekitaran dan keperluan perumahan yang semakin mendadak, Setiawangsa telah dibangunkan dan perumahan telah dibina di kawasan penempatan seluas 16.94 km kaki persegi ini.  Ia dipenuhi dengan taman perumahan, kondominium, banglo, dan apartmen.
Setiawangsa juga dibangunkan di kawasan pejabat dan kawasan perniagaan terutamanya di Taman Setiawangsa.  Ramai penduduk di kawasan ini terlibat dalam aktiviti perniagaan dan perkhidmatan.  Deretan kedai yang banyak di sekitar kawasan Setiawangsa telah mengalakkan aktiviti-aktiviti perniagaan.  Terdapat kemudahan awam dan sosial,  dan perkhidmatan di kawasan ini seperti klinik, masjid, balai polis, perhentian bas, sekolah rendah dan sekolah menengah, kolej, pusat rekreasi, bangunan letak kereta bertingkat, kompleks sukan, dewan serba guna, padang bola, pasar raya Giant, pasar raya Jaya Jusco, restoran, Petronas, bangunan letak kereta bertingkat, kompleks sukan dan dewan serba guna, kedai runcit, gimnasium, kedai buku, kedai perabot, bengkel bank, Pos Malaysia, dan pusat penjaja.
Penduduk di sini juga terlibat dalam bidang pendidikan dan menjadi tenaga pengajar di kawasan Setiawangsa.  Ini adalah kerana terdapat sekolah menengah, sekolah rendah, kolej, dan pusat tuisyen di kawasan Setiawangsa.
Selain itu, terdapat juga penduduk di kawasan perumahan ini yang bekerja di Kuala Lumpur.  Hal ini demikian kerana kemudahan infrastruktur yang memudahkan penduduk untuk berulang alik ke tempat kerja di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada kepadatan penduduk.  Kepadatan penduduk ini disebabkan oleh tindakan kerajaan yang membina infrastruktur-infrastrukur seperti lebuh raya dan jalan raya. Kawasan Setiawangsa terletak kira-kira 10km dari pusat bandar Kuala Lumpur.  Terdapat beberapa laluan jalan raya yang menghubungkan kawasan ini ke pusat bandar Kuala Lumpur seperti Jalan Taman Setiawangsa, Jalan Bukit Setiawangsa, Jalan Ampang, dan Jalan Enggang yang menembusi jalan besar iaitu Jalan Jelatek menuju ke pusat bandar.  Setiawangsa dilingkungi oleh Lebuh Raya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuh Raya Duta – Ulu Kelang (DUKE). Terdapat perkhidmatan pengangkutan awam iaitu bas awam, teksi dan lrt.  Kemudahan pengangkutan bas dan teksi memudahkan penduduk berulang alik ke tempat kerja dan sekolah.
Kini Setiawangsa dipenuhi dengan bangunan-bangunan kedai, taman perumahan, kondominium, banglo dan apartmen. Projek pembangunan kediaman telah siap keseluruhannya pada tahun 2007 dan dianggarkan terdapat lebih kurang 3,092 unit rumah kediaman di Setiawangsa sekarang ini. Taman Setiawangsa merupakan kawasan strategik dengan pembangunan terancang, mempunyai panorama yang indah kawasan persekitaran kediaman yang kondusif dan bertepatan dengan pepatah `Rumahku Syurgaku.

Negara Indonesia:
Kawasan bandingan iaitu yang tertumpu kepada Pulau Jawa di Negara Indonesia mempunyai tanah pamah yang digunakan untuk petempatan. Kawasan tanah pamah menjadi tumpuan penduduk dan banyak digunakan untuk pembinaan petempatan, pertanian, dan kegiatan lain.  Pertanian merupakan kegiatan ekonomi yang penting di Pulau Jawa, Indonesia.   Kepadatan penduduknya yang tinggi menyebabkan kawasan tanah pamah untuk pertanian menjadi terhad. Kekurangan tanah pamah memaksa petani-petani di Pulau Jawa menjalankan kegiatan pertanian secara berteres di cerun-cerun bukit. 

Letusan gunung berapi meninggalkan lapisan tanih jenis lava bes di cerun-cerun bukit di Pulau Jawa. Lava bes daripada gunung berapi menyuburkan tanah dan cerun teres dibina.   Penanaman padi sawah banyak dijalankan di kawasan-kawasan cerun bukit kerana mempunyai tanih lava bes gurung berapi yang subur.   Selain padi sawah, kopi juga banyak ditanam di kawaan cerun bukit di Jawa Timur.  Tanaman hortikultur pula giat dijalankan di kawasan cerun-cerun bukit di Lembang (Jawa Barat), Batu (Jawa Timur) dan Kopeng (Jawa Tengah).
Pulau Jawa juga berpotensi dimajukan sebagai pusat pelancongan.  Yogyakarta, sebuah daerah di Pulau Jawa mempunyai sebuah gunung berapi yang masih aktif sejak tahun 1548 iaitu Gunung Merapi, yang kali terakhir meletus pada tahun 2006. Ia menjadi tarikan pelancong yang ingin menyaksikan kesan letusan lama atau kepulan asap yang keluar setiap hari dari puncak gunung itu.

Kesan Kegiatan Manusia Terhadap Alam Sekitar di Kawasan Setiawangsa dan Negara Indonesia


Setiawangsa:
Hakisan Tanah dan Banjir Kilat
Hakisan sering berlaku di kawasan tanah tinggi di Setiawangsa.   Hal ini disebabkan tadahan hujan yang dibina pada cerun bukit untuk pembinaan rumah.  Kegiatan ini telah banyak mengakibatkan hakisan-hakisan tanah serta tanih. Fenomena ini sering berlaku di bahagian Puncak Setiawangsa dan Bukit Setiawangsa. 
Kegiatan manusia boleh memberi kegiatan negatif kepada alam sekitar.  Di kawasan kajian iaitu Setiawangsa, terdapat pengusaha kedai makanan yang membuang sisa-sisa makanan dan sampah-sarap dengan sewenang-wenangnya ke dalam longkang-longkang mengakibatkan pencemaran air, tersumbatnya saliran dan seterusnya kejadian banjir kilat.  Bentuk muka bumi kawasan Setiawangsa yang bertanah pamah dengan beberapa kawasan tanah bukit, maka pada musim hujan, terutama apabila hujan sangat lebat, air hujan dari puncak setiawangsa dan bukit setiawanga akan mengalir ke tanah yang rendah iaitu Taman Setiawangsa dengan membawa sampah sarap seperti daun-daun kering dan sebagainya masuk ke dalam longkang menyebabkannya ia tersumbat dan berlakunya banjir kilat. 


Kesesakan Lalu Lintas 
Kepadatan penduduk di  kawasan Setiawangsa dan juga pembinaan Lebuh Raya Duke  merentasi Setiawangsa telah menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku di Setiawangsa.  Dari pemerhatian saya, Jalan Taman Setiawangsa senantiasa sesak dengan kenderaan persendirian pada waktu pagi bermula dari jam 7.00 pagi hingga 8.00 pagi.  Kesesakan akan bertambah teruk terutama pada waktu petang ketika pelajar pulang dari sekolah dan orang ramai yang pulang dari kerja melalui kawasan ini. Di samping itu, kewujudan bazaar Ramadhan di kawasan Setiawangsa telah mengundang kesesakan yang terus dan mengganggu tugas harian penduduk kawasan ini.

Negara Indonesia:
Hakisan Tanah dan Tanah Runtuh
Bagi Pulau Jawa pula, kesan daripada kegiatan pertanian yang tidak diurus dengan baik dan terancang di cerun-cerun bukit boleh menyebabkan hakisan tanah dan tanah runtuh berlaku. Hakisan tanah memusnahkan tanaman dan tanah runtuh menyebabkan kerosakan harta benda, kemudahan awam dan mengorbankan nyawa.
(i)            
Langkah-langkah Mengurangkan Kesan Kegiatan Manusia Terhadap Alam Sekitar di Kawasan Setiawangsa dan Negara Indonesia.

Setiawangsa:
Hakisan tanah di kawasan Setiawangsa dapat diatasi dengan membina parit takung, tembok batu atau simen di cerun bukit yang curam yang dapat menyekat hakisan tanih dan tanah runtuh. Bagi mengelakkan banjir kilat berlaku di kawasan Setiawangsa, tong sampah kitar semula dan juga tapak pelupusan sampah yang banyak haruslah disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Selain  itu, pihak berkuasa sepatutnya memperbanyakkan lagi tong sampah atau menambahkan kekerapan mengutip sampah oleh pihak DBKL di kawasan ini. Ini dapat mengelakkan sistem perparitan atau sungai dijadikan tempat pembuangan sampah.  Akhir sekali, untuk mengatasi masalah ini, penduduk di kawasan kajian dan peniaga-penianga haruslah bertanggungjawab terhadap diri mereka dan keluarga mereka sendiri dengan menjaga kawasan ini dengan baik
Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan kajian, penduduk di sekitar boleh mengamalkan kongsi kereta. Kesesakan lalu lintas yang biasanya berlaku disebabkan oleh banyak orang menggunakan kenderaan masing-masing untuk keluar walaupun arah dan tujuannya adalah sama, contohnya menghantar anak ke sekolah. Jika berkongsi kenderaan, jalan raya akan menjadi kurang sesak. Selain itu, menggunakan kenderaan awam seperti bas awam dan lrt juga boleh boleh mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan ini.
Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas semasa bulan Ramadhan, pihak DBKL hendaklah membuat kajian dan mengadakan perbincangan dengan penduduk Setiawangsa bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan untuk mengadakan bazaar Ramadan di kawasan Setiawangsa pada masa-masa akan datang.  Pihak DBKL juga hendaklah menyusun semula gerai-gerai di bazaar Ramadhan di Setiawangsa bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Negara Indonesia:
Bagi hakisan tanah dan tanah runtuh yang berlaku di cerun-cerun bukit di Pulau Jawa, Indonesia pula, langkah-langkah yang boleh diambil oleh penduduk di situ untuk menangani masalah tersebut dengan menanam rumput tutup bumi di lereng-lereng bukit. Selain itu, parit takung, tembok batu atau simen boleh dibina di cerun bukit yang curam untuk mengurangkan masalah tersebut. Di samping itu penanaman di teres-teres cerun bukit dapat mengatasi masalah hakisan tanah.

RUMUSAN
Sesungguhnya, kajian ini telah memberikan banyak kesan yang positif. Melalui kajian ini, saya telah mengetahui dengan lebih mendalam tentang bentuk muka bumi di kawasan kajian iaitu Setiawangsa serta di negara Indonesia. Kajian ini juga memberi saya maklumat tentang potensi bentuk muka bumi yang terdapat di kawasan Setiawangsa serta di Negara Indonesia kepada kegiatan manusia. Selain itu, ,saya dapat mengenal pasti kesan kegiatan manusia terhadap alam sekitar di kawasan Setiawangsa serta di negara Indonesia dan langkah-langkah mengurangkan kesan-kesan tersebut.

Hasil daripada kajian ini, menjadikan saya bangga kerana dibesarkan dan tinggal dikawasan yang serba lengkap dan maju dengan kemudahan-kemudahan asas dan infrastruktur yang lengkap.  Jika dibandingkan dengan kawasan-kawasan yang kurang bernasib baik seperti Pulau Jawa yang terlalu padat penduduknya dan mengalami risiko bencana alam seperti letusan gunung berapi, kawasan tempat tinggal saya serta negara kita adalah jauh lebih bertuah kerana mempunyai egiatan ekonomi yang amat baik serta kemudahan yang sempurna serta enduduk yang harmoni.  Oleh yang demikian kita seharusnya menghargai apa yang ada dan menyayangi negara kita dengan sepenuh hati.

RUJUKAN
Saya juga telah menggunakan beberapa kaedah rujukan untuk menyiapkan folio ini.  

(i)                Buku teks dan Buku Ilmiah
Rapeah bt Ahamed, Khalijah bt. Maimon, Aziah bt. Ismail, Foo Ho Loke, 2002.  Geografi Tingkatan Satu, Arus Intelek Sdn. Bhd.

Khaw Ah Seng, Habibah Hj Lateh, Tah Koh Lim, 2004. Buku Teks Geografi Ting. 3. Kuala Lumpur : PTS Publications And Distributors Sdn. Bhd.
               
Folio Kajian Geografi Tempatan Tingkatan 2 – Kepentingan Jaringan Sistem Pengangkutan Awam di Setiawangsa.

(ii)                Internet
·                     http://www.setiawangsa.com.my/
·                     http://www.worldatlas.com/
·                     http://books.google.com.my/
(Geografi oleh Kang Chai Yeong & Darmindar Singh – Eksel dalam PMR Geografi terbitan Pelangi Publishing Group Bhd.)

12 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terime ksih . entri ni sngt mmbntu sye untk mmbuat folio dan pbs . terime ksih sekli lgi :D

Eyna Cullen ▲ berkata...

terime ksih . entri ni sngt mmbntu sye untk mmbuat folio dan pbs . terime ksih sekli lgi :D

Tanpa Nama berkata...

hurmmmm anak puan dr stu setia ye ? but this is most help me . thankss

Tanpa Nama berkata...

sangat membantu saya dalam menjalankan kajian yang ssya jalankan

Tanpa Nama berkata...

Thanks puan, this helps me a lot.

Tanpa Nama berkata...

terima kasihlah.....nasib baik aderr :)

Tanpa Nama berkata...

thakz....sbb isi2 pentingnya semua dah cukup bagi sya...ianya sngt membantu sya dalm menyiapkan folio yng ckg sya berikan....thakz so much :)

SyaZ_HaANeEZ berkata...

thakz....sbb isi2 pentingnya semua dah cukup bagi sya...ianya sngt membantu sya dalm menyiapkan folio yng ckg sya berikan....thakz so much :)

SyaZ_HaANeEZ berkata...

thakz....sbb isi2 pentingnya semua dah cukup bagi sya...ianya sngt membantu sya dalm menyiapkan folio yng ckg sya berikan....thakz so much :)

Tanpa Nama berkata...

tq

Asmaa' Afiqah berkata...

Terima kasih untuk info

Sulangkir berkata...

Terima kasih puan, dihargai sangat-sangat :)