Langkau ke kandungan utama

BANGUNAN STESEN KERETA API

Nama Bangunan
Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, hak milik Keretapi Tanah Melayu Berhad/Kerajaan Persekutuan.


Latar Belakang
Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Sultan Hishamuddin merupakan bangunan warisan kebangsaan dan dianggap sebagai khazanah negara yang tidak ternilai. Bangunan yang dibina pada tahun 1885 berdasarkan seni bina `Moorish’ ini telah menjadi tumpuan orang ramai ekoran seni binanya yang unik.


Stesen ini terletak di Jalan Sultan Hishamuddin, dulu dikenali sebagai Victory Avenue, yang pernah merupakan sebahagian daripada Jalan Damansara. Stesen ini telah mula direka oleh Arthur Benison Hubbock pada tahun 1900 dan hanya siap dibina sepenuhnya pada tahun 1910 oleh pihak pemerintahan kolonial British.


Stesen ini adalah yang ketiga dibina di lokasi yang ada sekarang ini. Stesen yang pertama (asal) dibina pada tahun 1886 iaitu sempena dengan pembukaan landasan kereta api di antara Klang dan Kuala Lumpur. Stesen ini terletak di sebelah Utara bangunan yang ada sekarang iaitu di Goods Yard Station. Stesen tersebut dikenali sebagai Stesen Residen kerana stesen ini terletak di dalam kawasan Residen British. Bumbung stesen ini diperbuat daripada atap rumbia, dan dinding pula diperbuat daripada kayu dan batu-bata. Hampir keseluruhan bahan binaan bagi bangunan ini diberi dari England. Bangunan ini digunakan selama enam tahun dan berkembang seiring dengan berkembangnya perdagangan bijih timah yang dijalankan pada masa itu. Stesen ini merupakan yang pertama di Kuala Lumpur, menghubungkan Kuala Lumpur ke Klang (Pengkalan Batu) dengan landasan kereta api pertama untuk menghubungkan bandar ini dengan kawasan-kawasan lain di Semenanjung Melayu. Stesen ini dirasmikan pada 22 September 1886.


Disebabkan perkembangan di sekitar Kuala Lumpur dengan pembinaan bangunan yang besar dan perkembangan pesat rangkaian kereta api, dan penambahan penumpang, maka stesen bangunan yang sedia ada itu diganti dengan stesen baru. Stesen kedua, iaitu Stesen Jalan Sultan (Sultan Street Station), dibina pada tahun 1892 di Foch Avenue, (kini Jalan Tun Tan Cheng Lock), berhampiran dengan tapak Menara Maybank Hentian Puduraya pada masa kini. Bangunan ini dibuat daripada batu-bata dan berbumbungkan atap genting. Reka bentuk bangunan ini hampir sama dengan bangunan kerajaan yang dibina ketika itu. Bangunan stesen ini digunakan selama 15 tahun.


Keperluan untuk membina semula stesen ketiga (stesen yang ada sekarang) dibuat pada tahun 1906. Arkitek yang bertanggungjawab mereka bangunan ini ialah Arthur Benison Hubback yang pada ketika itu adalah Penolong Arkitek kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya. Pembinaan bangunan ini telah dimulakan pada tahun 1908 tetapi tergendala disebabkan peperangan yang telah tercetus pada masa itu dan hanya siap beberapa tahun kemudian.


Bangunan stesen kereta api yang lama ditutup pada tahun 1910 dan pembukaan bangunan stesen kereta api yang baru yang ada sekarang telah memulakan perkhidmatannya mulai 1 Julai 1911. Stesen Kereta Api Kuala Lumpur menjadi stesen kereta api utama di Kuala Lumpur. Begitu juga, sebahagian hotel penginapan telah dibuka kepada orang awam pada bulan 11 Ogos 1911. Pada penghujung tahun 1911, pejabat tempahan tiket yang baru dibuka di platform nombor empat. Kos perbelanjaan membina bangunan stesen, hotel, dan beberapa bangunan tambahan mengikut laporan rasmi dalam tahun 1915 ialah $1,008,699.


Keistimewaan Bangunan
(a) Reka bentuk pelan
Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ini telah direka bentuk dalam tahun 1900 dan mengandungi dua bahagian; iaitu platform dan bangunan terminal dengan pejabat-pejabat, kaunter tiket, hotel, dan restoran.


Bangunan yang bersejarah dan unit dari segi reka bentuk ini telah direka oleh Encik Authur Benison Hubbock yang pernah bekerja dengan Jabatan Kerja Raya di India sebelum dilantik sebagai pemangku arkitek untuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Seni bina yang diketengahkan berasaskan kepada seni bina bangunan tradisi Timur Tengah. Stesen ini berbentuk seni bina Moorish dan Moghul. Terdapat juga unsur-unsur `gothic’ dan Greek. Kebijaksanaan arkitek ini telah berjaya menggabungkan semua elemen ini menjadikan ianya satu bangunan yang berkarisma dan berindenti.


Bangunan yang ada sekarang ini terdiri daripada beberapa bulatan kubah dan berjenis-jenis gerbang. Di tingkat satu dan bahagian bawah bangunan ini terdapat tiga (3) jenis gerbang dari saiz yang berlainan. Di sebelah bangunan ini terdapat kubah berbagai jenis dan rupa. Ada empat buah kubah yang setengah bulat tanpa ukiran apa-apa dari berbagai jenis saiz dan enam kubah yang sederhana besarnya dihiasi dengan tiang-tiang yang berukiran.


Di samping itu ada 12 kubah kecil yang dihias dengan tiang-tiang konkrit yang berukir di bahagian hadapan bangunan ini. Ada terdapat juga kubah-kubah yang kecil menghiasi bahagian atas bangunan ini.


Pelan lantai bangunan stesen kereta api Kuala Lumpur ini berbentuk `linear’ selari dengan landasan kereta api, sesuai dengan fungsiya sebagai sebuah stesen kereta api. Serupa dengan kebanyakan bangunan ciptaan zaman kolonial pada masa itu, stesen kereta api dua tingkat ini dikelilingi serambi atas dan pengedaran aktiviti penghuninya.


Terdapat satu anjung utama di bahagian tengah bangunan yang diapit oleh dua lagi anjung di kiri dan kanannya. Ketiga-tiga anjung ini juga mempunyai ruang bawah yang membolehkan laluan kenderaan dan pejalan kaki untuk masuk ke stesen. Bangunan ini menempatkan Ibu Pejabat KTM Berhad dan ruang di sebelah kanan bangunan pula menempatkan Heritage Hotel.

(b) Pengubahsuaian dan Penaiktarafan
Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur telah mengalami beberapa perubahan besar dalam sejarahnya. Sayap Utara telah dijadikan kawasan pejabat pada tahun 1967, menutup capaian ke beranda lengkung dengan tingkap.


Pada tahun 1986, stesen ini diubah suai dengan lebih menyeluruh. Bahagian dalam dan tingkap yang berkenaan digantikan dengan yang lebih moden. Bahagian luar diperbaiki dan dipelihara, bangunan dan kemudahan baru ditambah, termasuk dewan menunggu berhawa dingin, kaunter maklumat pelancongan, dan kedai snek. Sebahagian reka bentuk dan rangka asal dalaman stesen ini masih lagi wujud di Hotel Stesen Warisan.


Pemodenan ini juga melibatkan binaan tambahan di sayap Selatan bangunan ini, memaparkan gaya `Raj’ yang mendominasi sebahagian besar bangunan itu, dan tambahan muka hadapan untuk sayap Utara dengan unsur seni bina yang sama,


Pengubahsuaian lain termasuklah dinding belakang stesen yang ditebuk dan dipanjangkan untuk memuatkan pintu masuk baru, hentian teksi, pejabat dan kedai, manakala ruang tambahan dua tingkat turut dibina di atas jalan masuk ke stesen bagi menempatkan lebih banyak kedai.


Pembentukan semula pada tahun 1986 ini turut menyaksikan pemanjangan pelantar ke Utara dan bangunan stesen baru di situ, yang bersambung dengan Pejabat Pos Besar di Kompleks Dayabumi yang baru siap ketika itu (siap pada 1984).


Apabila perkhidmatan KTM Komuter dilancarkan pada tahun 1995 dengan laluan Rawang – Seremban dan laluan Sentul – Pelabuhan Klang, kaunter tiket ditambah di stesen tersebut selaras dengan stesen KTM Komuter yang lain.


(c) Kegunaan Dahulu dan Sekarang
Selepas era British, bangunan stesen ini kekal menjadi nadi kepada sistem pengangkutan negara terutama untuk membawa barang dagangan seperti getah. Pada tahun tahun 1911 stesen ini telah digunakan sebagai pengangkutan awam bagi perkhidmatan jarak jauh antara bandar yang menghubungkan destinasi tertentu dan menjadi pusat rangkaian kereta api utama bagi Persekutuan Keretapi Tanah Melayu (Federated Malay States Railway) dan Keretapi Tanah Melayu. Pada tahun 1995, perkhidmatan KTM Komuter diperkenalkan di stesen ini.


Bangunan yang dianggap sebagai khazanah negara ini, kini sepi, apabila pusat operasinya telah dipindahkan ke Stesen Sentral Kuala Lumpur, yang lebih canggih dan moden pada tahun 2001. Seiring dengan itu juga, perkhidmatan jarak jauh antara bandar turut dipindahkan ke Stesen Sentral Kuala Lumpur pada 15 April 2001. Ini menjadikan kepentingan bangunan stesen ini berkurang dan kemudahan yang tidak lagi diperlukan dibuang. Hanya perhidmatan KTM Komuter dan perkhidmatan barangan yang beroperasi di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ini.


Pada bulan Ogos 2007, pelbagai peralatan kereta api lama dari sebuah gudang kereta api di Klang dan beberapa tempat lain dipindahkan ke Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Ini termasuklah sebuah pelangsir kecil dan kereta bomba antik. Stesen ini secara rasminya dibuka semula pada 31 Ogos 2007 sebagai sebuah muzium kereta api di mana pameran diletakkan di dewan utama dan pelantar stesen, dan dicadangkan sebagai pusat budaya.


Bangunan ini turut menempatkan Hotel Heritage dijadikan pusat para penggiat seni tampak menjalankan aktiviti seni dan mempamerkan hasil karya mereka. Tujuannya adalah untuk menyemarakkan serta menceriakan bangunan stesen kereta api yang kini jarang dikunjungi orang ramai sejak pusat perkhidmatan kereta api Antarabandar dan perkhidmatan lain berpindah ke Stesen Sentral Kuala Lumpur. Majlis pelancaran pameran Transformasi Seni Tampak di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh penulis dan penyajak terkemuka tanah air, Y. Bhg. Datuk A. Samad Said. Melalui pameran ini, bangunan stesen kereta api Kuala Lumpur akan menjadi satu lagi mercu tanda dan tempat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin menikmati hasil karya seni tempatan.









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 2 (2012)

1.0         TAJUK PENCEMARAN ALAM SEKITAR DI TAMAN KERAMAT AU3, KUALA LUMPUR, WILAYAH PERSEKUTUAN 2.0         SENARAI KANDUNGAN Bil Perkara/Butiran Halaman/Muka Surat 1.0 Tajuk 2.0 Senarai kandungan 3.0 Penghargaan 4.0 Pendahuluan 5.0 Objektif kajian 6.0 Kawasan kajian 7.0 Kaedah kajian 8.0 Dapatan Kajian 8.1      Konsep pencemaran alam sekitara 8.2      Jenis pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.3      Punca pencemaran alam sekitar di kawasan kajian. 8.4      Kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.5      Cadangan untuk mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian Bahan Grafik 9.0 Rumusan 10.0 Lampiran ·         Foto pencemaran alam sekitar ·         Borang soal selidik 11.0 Rujukan

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Nama Bangunan Nama bangunan ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad. Asalnya hanya disebut sebagai `Bangunan’ sebelum ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad. Nama bangunan ini diambil sempena nama DYMM Sultan Negeri Selangor, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah yang memerintah pada ketika itu (1957 – 1898). Latar Belakang Bangunan Sultan Abdul Samad ialah sebuah bangunan yang penuh dengan warisan dan kebudayaan dan masyhur dengan keunikan dan identiti seni bina dan sentiasa dipandang tinggi oleh negara lain. Ia menjadi salah satu bangunan bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sanjungan rakyat Malaysia. Sering kali bangunan ini menjadi mercu tanda yang terkenal dan sangat sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur hatta Negara Malaysia kerana di sinilah tempatnya orang ramai menyambut perayaan-perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka, serta acara-acara yang berkaitan dengan pelancongan negara. Asal-usul Sejarah awalnya bermula pada t

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 1

Bentuk Muka Bumi dan Potensi di Kawasan Setiawangsa  dan Perbandingannya dengan Negara Indonesia Contoh folio ini adalah folio anak saya yang belajar di Tingkatan 1 yang disiapkan dengan bimbingan saya.  Dipaparkan untuk dikongsi bersama. Semoga ia dapat dijadikan contoh kepada anak-anak yang seangkatan dengannya.  PENGHARGAAN Saya dapat menyiapkan folio Geografi  saya dengan sempurna kerana bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak. Sekalung budi kepada guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 1 saya iaitu Puan ...................... yang telah memberikan penerangan tentang format folio Geografi, dan memberi tunjuk ajar semasa proses pembuatan folio ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa saya iaitu ……………. dan ibu saya …………….. yang senantiasa member dorongan, galakan, membantu mencari maklumat dan member bantuan kewangan sepanjang saya menjalankan tugasan ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan yang sudi berkongsi maklumat b