Langkau ke kandungan utama

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Nama Bangunan
Nama bangunan ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad. Asalnya hanya disebut sebagai `Bangunan’ sebelum ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad. Nama bangunan ini diambil sempena nama DYMM Sultan Negeri Selangor, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah yang memerintah pada ketika itu (1957 – 1898).

Latar Belakang
Bangunan Sultan Abdul Samad ialah sebuah bangunan yang penuh dengan warisan dan kebudayaan dan masyhur dengan keunikan dan identiti seni bina dan sentiasa dipandang tinggi oleh negara lain. Ia menjadi salah satu bangunan bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sanjungan rakyat Malaysia. Sering kali bangunan ini menjadi mercu tanda yang terkenal dan sangat sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur hatta Negara Malaysia kerana di sinilah tempatnya orang ramai menyambut perayaan-perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka, serta acara-acara yang berkaitan dengan pelancongan negara.

Asal-usul
Sejarah awalnya bermula pada tahun 1893, apabila Sir William Maxwell, Residen British di Selangor telah mula merancang untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbirannya. Tapak yang sesuai telah dipilih iaitu sebuah kawasan seluas 1.034 hektar, berhampiran dengan pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang, di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Bangunan ini direka bentuk oleh seorang arkitek Inggeris bernama Anthony C. Norman dan dibantu oleh A.B. Hubbock yang pada waktu itu berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur pada tahun 1894.
Ia dibina dengan tujuan untuk menempatkan jabatan-jabatan kerajaan yang penting semasa pemerintahan British di negara kita. Pada mula pembinaannya ia hanya dikenali sebagai `Bangunan Baru Kerajaan’ (the new Government Offices), dan kemudian sebagai `Sekretariat Persekutuan’ (Federal Secretariat). Bangunan ini diguna sama dengan Kerajaan Negeri Selangor sebelum berpindah ke Shah Alam pada tahun 1974
Bangunan ini adalah kemuncak pembangunan yang didirikan di Kuala Lumpur pada akhir abad ke 19, malah berupa kejayaan program `Bangunan Tersergam’ (Massive Building Programme), di bawah pengendalian Sir William Maxwell dan Charles Edwin Spooner sebagai perancang Bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur ketika itu.

Pengasas
Reka bentuk pelan asal bangunan ini dibuat oleh arkitek dari British yang berkhidmat di Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur bernama Arthur Charles Alfred Norman dan dibantu oleh seorang jurutera, juga berasal dari British, iaitu Charles Edwin Spooner bagi memulakan kerja pembinaan bangunan ini. Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. R.A.J. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal A.C. Norman selepas C.E. Spooner kurang berpuas hati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman.

Tarikh Pembinaan
Pembinaan bangunan ini dimulakan pada tahun 1893 dan siap sepenuhnya untuk digunakan pada tahun 1897. Ia mengambil masa selama dua tahun tujuh bulan. Tetapi perletakan batu asas bangunan ini hanya di buat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H. Mitchell yang merupakan Gabenor Negeri-negeri Selat ketika itu setelah reka bentuk bangunan tersebut dipersetujui.

Lokasi
Bangunan Sultan Abdul Samad terletak di lokasi yang amat strategik di Jalan Raja, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur yang sedang membangun. Kawasan ini meliputi keluasan 10,200 meter persegi. Bangunan ini berhadapan dengan Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan berhampiran persimpangan jalan-jalan penting seperti Jalan Tun Perak, Jalan Raja Selangor, dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di bahagian bangunan ini terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Mahkamah Persekutuan di mana mengalirnya pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak.

Tujuan Penubuhan Bangunan
Tujuan utama bangunan ini dibina ialah untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbiran British ketika itu dan memberi imej baru kepada Kuala Lumpur dengan menonjolkan imej seni bina Islam yang menarik. Tujuan pembinaan awal adalah sebagai Bangunan Kerajaan Baru untuk menempatkan semua Jabatan pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) di bawah satu Bangunan pentadbiran berpusat iaitu menempatkan:
(i) Sekretariat Kerajaan (G.S.O);
(i) Bilik Mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber);
(ii) Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board);
(iii) Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner);
(iv) Public Works Department (PWD);
(v) Audit dan Perbendaharaan;
(vi) Pejabat Tanah;
(vii) Jabatan Galian;
(viii) Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office).

Kos Pembinaan
Kerajaan British telah mengehadkan kos tidak melebihi RM231,000.00 untuk tujuan pembinannya. Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan kos pembinaan bangunan ini dianggarkan kira-kira RM152,000 dan ada sumber yang mengatakan ia dibina dengan harga RM152,824. Namun, ia tetap menjadi sebuah bangunan yang termahal pada ketika itu.
Walau bagaimanapun, bangunan ini telah mengalami pengubahsuaian yang memakan belanja RM17.2 juta selama enam tahun dan siap diubahsuai semula pada tahun 1978. Pada 24 Disember 2008, Datuk Seri Muhd Shafie Apdal telah berkata, `Bangunan ini telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai pejabat kementerian dan kos pengubahsuaiannya dianggarkan lebih kurang RM20 juta’.

Perasmian
Bangunan ini siap dan dirasmikan pada 4 April 1897 oleh Residen British, Sir Frank Swettenham dengan acara gilang-gemilang dengan ucapan menarik oleh Charles Edwin Spooner, mengenai sejarah pembinan bangunan tersebut. Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick. Berdasarkan sejarah dan keunikan tersendiri, bangunan ini telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada tahun 2007.

Keistimewaan Bangunan
1.Reka bentuk pelan
Reka bentuk pelan bangunan ini sangat unik dan merupakan antara bangunan yang tersohor pada ketika itu. Ia mempunyai dua tingkat setinggi 57 kaki berbentuk ladam yang merupakan suatu elemen penting dalam reka bentuk bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah sebuah anjung yang berhadapan dengan Padang Kelab Diraja Selangor. Semasa memasuki pintu utama bangunan ini, pelawat boleh melihat tangga berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan bilik-bilik Mahkamah Agung. Ruang pejabat ini dipagari serambi yang memberikan pengudaraan secara maksimum, terutama pada zaman pemerintahan British ketika itu, yang tiada penghawa dingin.

2.  Bahan binaan
Sejarah pembinaan Bangunan Awam Kerajaan yang pertama di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) ini melibatkan penubuhan sebuah kilang bertempat di Brickfield bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.
Pengubahsuaian dan Penaiktarafan
Pada tahun 1971, bandar raya Kuala Lumpur telah dilanda banjir besar apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara. Banjir ini menyebabkan bangunan Sultan Abdul Samad dan Padang Kelab Selangor ditenggelami air dan menyebabkan kerosakan yang teruk pada struktur luaran dan dalaman bangunan tersebut. Sekitar tahun 1978, kerja-kerja pengubahsuaian telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja sebanyak RM17.2 juta. Pada tahun 1982, kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM200,000 untuk menyadur tembaga pada ketiga-tiga kubah di bangunan ini yang sekarang bersinar dengan indahnya dan menambahkan lagi seri kepada reka bentuk yang memang unik dan luar biasa itu. Terdahulu daripada ini, kubah-kubah tersebut dibuat daripada kayu dan batu-bata yang disalut dengan kepingan tembaga yang dicat hitam. Pengubahsuaian ini dilakukan hanya pada bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.
Bangunan Sultan Abdul Samad telah diubah suai mulai Disember 2007 untuk dijadikan pejabat pejabat Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan Malaysia.

3.   Hiasan Dalaman
Di dalam bangunan ini turut dibina sebuah dataran berbentuk segi empat yang diperindahkan di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup.
Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar, dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu-bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios.
Gerbang yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagunan bangunan ini.

Kegunaan Dahulu dan Sekarang
Pada zaman penjajahan British, Bangunan Sultan Abdul Samad digunakan sebagai Pusat Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen Jeneral dan Pejabat Pos Besar. Selepas merdeka, ia digunakan sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Perakaunan sehingga tahun 1978. Pada tahun 1978 juga, bangunan ini menempatkan Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil dan Dagang serta Mahkamah Tinggi Jenayah. Akhir sekali pada 24 Disember 2008, bangunan ini telah diwartakan menjadi harta warisan kebangsaan dan dijadikan sebagai pejabat rasmi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. (KPPKW). Sehubungan ini, KPKKW diberi hak untuk mentadbir dan menjadi penjaga utama keseluruhan kompleks bersejarah termasuk bangunan ini sendiri.

Cara Pembinaan
Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W.E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C.E. Spooner dari Ceylon sebagai Jurutera Negeri dan dibantu oleh A.C. Norman sebagai arkitek.
Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah oang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuas hati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter. Sebagai bangunan yang menjadi pemula dalam waktu pembinaanya 1894 - 1897, hasil seni binanya pula lengkap dengan ciri-ciri keistimewaan daripada aspek komposisi karektor seperti: stail, ragam hias dan pemilihan unsure-unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome), dan struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada seni bina masjid.
Pemilihan stail seni bina Islam `Moorish’ atau `Mahometan Style’ pengaruh bangunan awam di India menjadi pilihan kepada struktur seni bina Bangunan Sultan Abdul Samad. Bangunan ini menonjolkan dua stail yang unik: kehebatan pembahagian (grand proportion) dan pertembungan simetri yang klasik (classical symmetry), gaya bangunan bersejarah Eropah dengan menitik berat aspek dekorasi yang berciri the `Raj style mencerminkan fungsi utama pembinaannya di rantau ini. Bangunan dua tingkat ini mempunyai keunikan struktur yang menonjol berupa menara jam setinggi 41.5m di tengah-tengah binaan berbentuk huruf `F’, penampilan identiti dan mercu tanda tersendiri.
Ia juga merupakan bangunan awam pertama yang berdiri megah di tapak bebentuk segi tidak terletak di antara Jalan Raja dan Jalan Belanda (Jalan Mahkamah Persekutuan) yang melengkari ke arah barat sepanjang Sungai Gombak dan Sungai Klang serta mengadap Jalan Mahkamah Tinggi (Clark St.). Sebagai bangunan yang menjadi `pemula’ dalam waktu pembinaannya, 1894 – 1897, hasil seni binanya pula lengkap dengan ciri-ciri keistimewaan dari aspek komposisi karektor seperti stail, ragam hias dan pemilihan unsur-unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome), dan struktur berntuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada seni bina masjid. Kesemua elemen tersebut menambah estetika yang hebat dan kemudian menjadi contoh ikutan dan penentu aliran kecenderungan dalam pembinaan bangunan awam (civic building).

Peristiwa Sejarah
Peristiwa bersejarah yang dirakam berdasarkan detik jam besar di Bangunan Sultan Abdul Samad ialah:
Jam besar yang terdapat pada bangunan tersebut yang dikenali sebagai `jam kemerdekaan’ telah berdenting sebanyak 12 kali pada 30 Ogos 1957 yang menandangkan kemerdekaan negara kita. Serentak dengan itu juga, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, Jalur Gemilang.
Berlaku pertukaran waktu tempatan dalam tempoh 50 tahun iaitu:
• 31 Disember 1931 – dipercepatkan 20 minit untuk memanjangkan waktu siang.
• 1 September 1941 – dipercepatkan lagi 10 minit.
• 1942 – dipercepatkan dua jam mengikut waktu Tokyo, Jepun.
• 1945 – diselaraskan semula sama seperti tahun 1941.
• 1 Januari 1982 – dipercepatkan 30 minit untuk seragamkan dengan waktu Sabah, Sarawak, dan menjadi Malaysian Standard Time.

Selain itu, Bangunan Sultan Abdul Samad juga menjadi lokasi untuk beberapa peristiwa penting di mana bangunan ini menjadi latar belakang Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan sambutan malam Tahun Baru setiap 1 Januari . Perarakan kereta berhias sempena Pesta Flora juga diadakan di sini. Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 2009 dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. Lumba basikal Le Tour de Langkawi ditamatkan di hadapan bangunan ini. Beberapa drama dan filem tempatan , Hollywood dan Bollywood juga pernah mengadakan penggambaran di sini.
Botak Chin, komunis dan penjenayah yang paling berbahaya pada suatu ketika dahulu telah mengaku bersalah dan dihukum gantung sampai mati di sini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 1

Bentuk Muka Bumi dan Potensi di Kawasan Setiawangsa  dan Perbandingannya dengan Negara Indonesia Contoh folio ini adalah folio anak saya yang belajar di Tingkatan 1 yang disiapkan dengan bimbingan saya.  Dipaparkan untuk dikongsi bersama. Semoga ia dapat dijadikan contoh kepada anak-anak yang seangkatan dengannya.  PENGHARGAAN Saya dapat menyiapkan folio Geografi  saya dengan sempurna kerana bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak. Sekalung budi kepada guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 1 saya iaitu Puan ...................... yang telah memberikan penerangan tentang format folio Geografi, dan memberi tunjuk ajar semasa proses pembuatan folio ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa saya iaitu ……………. dan ibu saya …………….. yang senantiasa member dorongan, galakan, membantu mencari maklumat dan member bantuan kewangan sepanjang saya menjalankan tugasan ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan yang sudi b...

Sistem Gred SPM

Saje nak kongsi mengenai sistem gred SPM ni.  Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bakal menduduki SPM 2011 (termasuk saya) mesti ingin  mengetahui markah dan gred yang telah digunakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Tadi saya cuba bertanya kepada rakan-rakan pejabat mengenai perkara ini. Masing-masing x berapa pasti.  Al-maklumlah semuanya dah sebaya saya; zaman 80an dulu ambil SPM.  Saya pun dah x pasti sbb gred dulu berlainan.  Godek punya  godek halaman web dapatlah maklumat ini.  Maklumat ini penting kerana gred baharu ini digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk kemasukan ke universiti sejak tahun 2009 lagi. Bolehlah kita jadikan garis panduan dan suruh anak kita buat persediaan untuk skor with`flying colours' subjek-subjek tertentu bagi memenuhi syarat kelayakan kursus yang dimohon di IPTA nanti.  Tapi kalau boleh kita nak anak-anak kita skor semua subjek with flying colours. Insya Allah...