Langkau ke kandungan utama

TOKOH TUN HUSSEIN ONN

Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga, memimpin negawra dari 15 Januari 1976 sehingga 16 Julai 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".


Hussein Onn dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari 1922. Beliau merupakan anakanda sulung kepada Dato' Onn bin Jaafar dan Datin Halimah Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Ayahandanya Dato’ Onn merupakan orang yang bertanggungjawab menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946 dan juga Presiden UMNO yang pertama.


Tun Hussein berkahwin dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Haji Mohd Noah dan dikurnia enam orang anak, dua anak lelaki dan empat anak perempuan. Salah seorang anak lelakinya ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia sekarang ini.


Beliau menerima pendidikan awalnya di Singapura, dan kemudiannya di English College, Johor Baru (kini digelar “Maktab Sultan Abu Bakar”). Selepas persekolahannya pada tahun 1940, Hussein Onn berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor. Pada tahun 1941, beliau dihantar ke Indian Military Academy di Dehra Dun, India. Selepas ditauliahkan pada tahun 1942, beliau menyertai Regimen Hyderabad (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah semasa meletusnya Perang Dunia Ke-2. Selepas peperangan tamat, beliau telah dihantar ke Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi dan dinaikkan pangkat sebagai Kapten. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.


Pada bulan Ogos tahun 1945, beliau kembali ke Malaya dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam perkhidmatan tentera di Malaya, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Hussein Onn kemudian ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai daerah di Kelang dan Kuala Selangor. Ketika itu kerajaan British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan Dato’ Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO.


Tun Hussein Onn meninggal dunia pada hari Selasa, 29 Mei 1990 di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat ketika berumur 68 tahun kerana serangan jantung setelah enam minggu menjalani pembedahan pintasan koronari. Beliau disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, di perkarangan Masjid Negara Kuala Lumpur


Kerjaya Politik
Tun Hussein Onn berasal daripada sebuah keluarga yang begitu mendalam semangat nasionalismenya dan akar politik yang mendalam. Apabila ayahandanya, Dato’ Onn Jaafar menubuhkan UMNO, Hussein Onn meletak jawatan daripada perkhidmatan awam untuk turut serta berjuang di samping bapanya dalam kegiatan politik UMNO. Pada tahun 1949, beliau telah dilantik sebagai Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO. Pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan. Semasa darurat, beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor.


Walau bagaimanapun, penglibatan Tun Hussein Onn dalam UMNO mulai pudar apabila tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951 di mana cadangan bapanya untuk membuka pintu UMNO kepada orang bukan Melayu tidak dapat diterima oleh orang Melayu. Apabila Dato’ Onn bin Jaafar menarik diri dari UMNO, Tun Hussein Onn juga turut menyertai bapanya keluar dari UMNO dan seterusnya menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara.


Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Tun Hussein Onn telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau kembali ke tanah air sebagai seorang peguam yang bertauliah dan membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur.


Ibarat sireh pulang ke ganggang, Hussein Onn kembali ke politik untuk menyertai UMNO semula pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh birasnya Allahyarham Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Perdana Menteri ketika itu. Pada bulan Jun 1969 Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO). Dalam tahun yang sama, beliau telah bertanding dan memenangi pilihan raya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September 1970 di dalam kabinet Tun Abdul Razak. Sebagai Menteri Pelajaran, beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala Lumpur. Kemudiannya pada tahun 1972, beliau dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.


Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 13 Ogos tahun 1973 menggantikan Tun Dr. Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 15 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang telah meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976.


Berikutnya, beliau mengumumkan satu kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Timbalannya.


Dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional yang bermanifesto “A man whom you can trust” (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen, di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri.


Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar termasuklah negara-negara barat dan lain-lain anggota ASEAN.


Pada 17 Julai 1981, beliau bersara daripada politik aktif dan meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran "Tun" yang merupakan anugerah DiRaja yang tertinggi di Malaysia.


KEJAYAAN DAN SUMBANGAN TOKOH
Hussein Onn termasyhur dalam penegasannya terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masyarakat. Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Hussein Onn telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak khususnya dalam menggerakkan `Dasar Ekonomi Baru’.


Sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri, beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan masyarakat Bumiputera. Dasar Ekonomi Baru telah diberi nafas baru di bawah terajunya. Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Usahanya yang paling ketara adalah apabila beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional pada 20 April 1981, iaitu satu dana amanah Bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara. Skim ini melibatkan pemindahan berjuta ringgit saham milik Kerajaan ke Amanah Saham Nasional (ASN) yang dikuasai oleh Permodalan National Bhd (PNB). Kemudian, berjuta-juta unit di dalam Skim ASN ini dijual kepada golongan Bumiputera bagi membolehkan mereka melabur secara tidak langsung di dalam saham-saham tersebut. Dengan dana yang terhasil daripada jualan ini, PNB menjadi sumber utama bagi Kerajaan untuk menguasai kepentingan di dalam syarikat-syarikat asing.


Sebagai seorang perwira, Tun Hussein Onn fasih tentang hal ehwal keselamatan. Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan apatah lagi di rantau Asia Tenggara yang ketika itu gempar ekoran jatuhnya Vietnam Selatan ke tangan komunis dan termasyhurnya cita-cita `Teori Domino’ komunis. Semasa pentadbirannya, usaha membanteras pengganas komunis di hutan dan di bandar-bandar semasa tempoh darurat telah diperhebatkan. Malah, golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan (intelligent) yang berjaya.


Setelah persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein Onn masih kekal aktif di dalam beberapa inisiatif lain dan masih meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan.. Sebagai contoh, pada bulan Mei tahun 1983, beliau telah dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa. Manakala pada 22 Februari tahun 1983 pula, beliau terpilih sebagai Penasihat kepada Petronas dan pada 9 Jun tahun 1983 beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS). Tun Hussein juga dilantik sebagai Presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia. Kini, sebuah Hospital Mata telah mengabdikan namanya dan dikenali sebagawi Hospital Mata Tun Hussein Onn.


SIFAT-SIFAT ISTIMEWA TOKOH
Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn adalah seorang yang amat berhati-hati apabila membuat keputusan yang melibatkan hal-ehwal negara. Beliau sangat tegas dan berpegang teguh kepada prinsip hidupnya. Pengalaman ketenteraan menjadikan Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn seorang yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn memberi kebebasan akhbar dan majalah untuk memberi kritikan dan komentar dengan harapan ini akan meningkatkan prestasi pentadbirannya. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn adalah seorang negarawan yang disegani dan dihormati. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn terkenal dengan sifat merendah diri serta jujur dan beliau disanjungi oleh masyarakat Malaysia sebagai seorang pemimpin.


Dalam sejarah, Allahyaraham Tun Hussein bin Dato'Onn akan sentiasa dikenang sebagai 'Penyambung Warisan Yang Terbilang'. Allahyarham Tun Hussein bin Dato' Onn juga dikenali sebagai 'Bapa Perpaduan' kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah disandang oleh ayahandanya, mewarisi program pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia. Malah Allahyarham Tun Hussein bin Dato'Onn pula mewariskan kerajaan kepada Dr. Mahathir dalam keadaan yang stabil dan UMNO dalam keadaan yang begitu kukuh.


Tun Hussein Onn kini dikenang sebagai Bapa Perpaduan bagi mengenangkan segala jasa dan usahanya dalam memupuk perpaduan di negara ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 2 (2012)

1.0         TAJUK PENCEMARAN ALAM SEKITAR DI TAMAN KERAMAT AU3, KUALA LUMPUR, WILAYAH PERSEKUTUAN 2.0         SENARAI KANDUNGAN Bil Perkara/Butiran Halaman/Muka Surat 1.0 Tajuk 2.0 Senarai kandungan 3.0 Penghargaan 4.0 Pendahuluan 5.0 Objektif kajian 6.0 Kawasan kajian 7.0 Kaedah kajian 8.0 Dapatan Kajian 8.1      Konsep pencemaran alam sekitara 8.2      Jenis pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.3      Punca pencemaran alam sekitar di kawasan kajian. 8.4      Kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.5      Cadangan untuk mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian Bahan Grafik 9.0 Rumusan 10.0 Lampiran ·         Foto pencemaran alam sekitar ·         Borang soal selidik 11.0 Rujukan

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Nama Bangunan Nama bangunan ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad. Asalnya hanya disebut sebagai `Bangunan’ sebelum ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad. Nama bangunan ini diambil sempena nama DYMM Sultan Negeri Selangor, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah yang memerintah pada ketika itu (1957 – 1898). Latar Belakang Bangunan Sultan Abdul Samad ialah sebuah bangunan yang penuh dengan warisan dan kebudayaan dan masyhur dengan keunikan dan identiti seni bina dan sentiasa dipandang tinggi oleh negara lain. Ia menjadi salah satu bangunan bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sanjungan rakyat Malaysia. Sering kali bangunan ini menjadi mercu tanda yang terkenal dan sangat sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur hatta Negara Malaysia kerana di sinilah tempatnya orang ramai menyambut perayaan-perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka, serta acara-acara yang berkaitan dengan pelancongan negara. Asal-usul Sejarah awalnya bermula pada t

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 1

Bentuk Muka Bumi dan Potensi di Kawasan Setiawangsa  dan Perbandingannya dengan Negara Indonesia Contoh folio ini adalah folio anak saya yang belajar di Tingkatan 1 yang disiapkan dengan bimbingan saya.  Dipaparkan untuk dikongsi bersama. Semoga ia dapat dijadikan contoh kepada anak-anak yang seangkatan dengannya.  PENGHARGAAN Saya dapat menyiapkan folio Geografi  saya dengan sempurna kerana bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak. Sekalung budi kepada guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 1 saya iaitu Puan ...................... yang telah memberikan penerangan tentang format folio Geografi, dan memberi tunjuk ajar semasa proses pembuatan folio ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa saya iaitu ……………. dan ibu saya …………….. yang senantiasa member dorongan, galakan, membantu mencari maklumat dan member bantuan kewangan sepanjang saya menjalankan tugasan ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan yang sudi berkongsi maklumat b