Langkau ke kandungan utama

Simpulan Bahasa - Part 1

Khazanah simpulan bahasa ini telah lama tersimpan dalam komputer Kak Noor.  Walaupun Kak Noor telah bergelar seorang Ibu, tetapi Kak Noor suka mengakses internet untuk mencari bahan-bahan untuk pembelajaran anak-anak Kak Noor dan untuk informasi Kak Noor sendiri.  Semasa mengodek tu.... terjumpalah simpulan bahasa ini.  Kak Noor dah lupa halaman webnya. Ada sesetengah simpulan bahasa itu tak pernah pun diajar di sekolah. 

Simpulan bahasa adalah kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi bukan daripada yang tersurat atau nyata. Ringkasnya, erti simpulan bahasa berlainan daripada perkataan yang digunakan.

1. Abang Angkat
Maksud: Lelaki yang telah di akui sebagai abang, tetapi tidak mempunyai pertalian darah dengan orang yang mengakuinya.
Contoh Ayat: Hamidah mempunyai seorang abang angkat bernama Hamzah.

2. Abang Ipar
Maksud: Suami kepada kakak sendiri; abang kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Hafiz ialah abang ipar Umar.

3. Abang Kandung
Maksud: Abang yang seibu sebapa.
Contoh Ayat: Liza tinggal bersama abang kandungnya setelah kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia.

4. Abu Angin
Maksud: Telah musnah sama sekali.
Contoh Ayat: Kota yang melambangkan ketamadunan bangsa itu telah menjadi abu angin kerana diserang oleh tentera Tatar.

5. Abu Jahal
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.
Contoh Ayat: Abu Jahal kampung ini telah diberkas polis awal pagi tadi kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan.

6. Abu Lahab
Maksud: Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan.

7. Abu Nawas
Maksud: Orang yang suka berhelah.
Contoh Ayat: Kami memanggilnya Abu Nawas kerana dia pandai berhelah apabila ditanya tentang sesuatu.

8. Ada Akal
Maksud: Cara menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh Ayat: Syeila ada akal untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi oleh ayahnya.

9. Ada Angin
Maksud: Orang yang berperangai luar biasa pada masa tertentu.
Contoh Ayat: Alin ada angin, ada kalanya dia peramah dan ada kalanya pula dia marah-marah.

10. Ada Bakat
Maksud: Berkebolehan dalam sesuatu lapangan seperti melukis, mengarang dan sebagainya.
Contoh Ayat: Izzah ada bakat menjadi penulis novel.

11. Ada Can
Maksud: Ada peluang.
Contoh Ayat: Nampaknya ada can kita jadi orang kaya kalau perniagaan kita ini berjaya, kata Amin kepada Umair.

12. Ada Gaya
Maksud: Ada ciri-ciri yang memperlihatkan kebolehannya.
Contoh Ayat: Osman ada gaya menjadi pelakon filem kerana dia tinggi dan tampan.

13. Ada Hati
Maksud: Keinginan.
Contoh Ayat: Walaupun berpendapatan kecil Jaya ada hati hendak membuka perniagaannya sendiri suatu hari nanti.

14. Ada Jalan
Maksud: Ada cara untuk menyelesaikan sesuatu perkara.
Contoh Ayat: Hamdan ada jalan untuk membiayai perbelanjaan anaknya di institusi pengajian tinggi iaitu dengan membuat pinjaman di bank.

15. Ada-Ada
Maksud: Ada sesuatu.
Contoh Ayat: Ada-ada sahaja yang diceritakan oleh Abu sekembalinya dia dari bandar.

16. Adat Balai
Maksud: Adat dalam istana raja.
Contoh Ayat: Semasa di dalam istana kamu hendaklah menjaga adat balai.

17. Adik Angkat
Maksud: Seseorang yang telah diakui sebagai adik sendiri tetapi tidak mempunyai pertalian darah.
Contoh Ayat: Jamilah adik angkat saya, ibunya menyerahkan dia kepada keluarga kami untuk dipelihara.

18. Adik Ipar
Maksud: Adik kepada isteri atau suami.
Contoh Ayat: Adik ipar saya seorang doktor.

19. Adik Kandung
Maksud: Adik daripada ibu bapa yang sama; seibu sebapa.
Contoh Ayat: Sulaiman sedang mencari adik kandungnya, Hasnah yang telah terpisah sejak sepuluh tahun lalu.

20. Adu Buku = Beradu Buku
Maksud: Bertinju.
Contoh Ayat: Samad beradu buku dengan Wahid.

21. Adu Domba = Mengadu Domba
Maksud: Melaga-lagakan seseorang atau kumpulan dengan seseorang atau kumpulan yang lain. Contoh Ayat: Pendatang baru di kampung itu suka mengadu domba pemuda di kampung ini dengan pemuda dari kampung seberang.

22. Adu Kening = Beradu Kening
Maksud: Berhadap-hadapan muka.
Contoh Ayat: Walaupun kami duduk beradu kening di majlis itu tetapi kami tidak dapat berbual-bual.

23. Adu Lengan = Beradu Lengan
Maksud: Beradu kekuatan.
Contoh Ayat: Wira dan Jaka beradu lengan di hadapan gadis itu.

24. Adu Nasib = Mengadu Nasib
Maksud: Mencari rezeki.
Contoh Ayat: Kamal datang dari seberang dan cuba mengadu nasib di negara ini kerana di sini banyak peluang pekerjaan.

25. Adu Untung
Maksud: Mencari rezeki.

26. Air Mandi
Maksud: Sudah menjadi kebiasaan.
Contoh Ayat: Bekerja mengangkat bata di bawah panas matahari sudah menjadi air mandi kepada Jeha kerana itulah tugas yang perlu dilakukannya setiap hari.

27. Air Muka
Maksud: a) Wajah b) Maruah
Contoh Ayat:
a) Air muka Munirah menjadi muram apabila ibunya melarang dia bermain-main di padang.
b) "Tidak baik mencemuh dan menjatuhkan air muka orang di khalayak ramai," kata Imad kepada Husin.

28. Air Pasang
Maksud: Paras air laut yang meningkat.
Contoh Ayat: Apabila air pasang, kawasan pantai itu akan ditenggelami air.

29. Air Sembilan
Maksud: Air yang digunakan untuk memandikan mayat.
Contoh Ayat: Air sembilan disediakan sambil menunggu mayat tiba dari hospital.

30. Air Setaman
Maksud: Air yang bercampur bunga-bungaan dan limau untuk dibuat mandi.
Contoh Ayat: Ibu yang mengandung tujuh bulan itu dimandikan dengan air setaman.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Sistem Gred SPM

Saje nak kongsi mengenai sistem gred SPM ni.  Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang bakal menduduki SPM 2011 (termasuk saya) mesti ingin  mengetahui markah dan gred yang telah digunakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.  Tadi saya cuba bertanya kepada rakan-rakan pejabat mengenai perkara ini. Masing-masing x berapa pasti.  Al-maklumlah semuanya dah sebaya saya; zaman 80an dulu ambil SPM.  Saya pun dah x pasti sbb gred dulu berlainan.  Godek punya  godek halaman web dapatlah maklumat ini.  Maklumat ini penting kerana gred baharu ini digunakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk kemasukan ke universiti sejak tahun 2009 lagi. Bolehlah kita jadikan garis panduan dan suruh anak kita buat persediaan untuk skor with`flying colours' subjek-subjek tertentu bagi memenuhi syarat kelayakan kursus yang dimohon di IPTA nanti.  Tapi kalau boleh kita nak anak-anak kita skor semua subjek with flying colours. Insya Allah...

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 1

Bentuk Muka Bumi dan Potensi di Kawasan Setiawangsa  dan Perbandingannya dengan Negara Indonesia Contoh folio ini adalah folio anak saya yang belajar di Tingkatan 1 yang disiapkan dengan bimbingan saya.  Dipaparkan untuk dikongsi bersama. Semoga ia dapat dijadikan contoh kepada anak-anak yang seangkatan dengannya.  PENGHARGAAN Saya dapat menyiapkan folio Geografi  saya dengan sempurna kerana bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak. Sekalung budi kepada guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 1 saya iaitu Puan ...................... yang telah memberikan penerangan tentang format folio Geografi, dan memberi tunjuk ajar semasa proses pembuatan folio ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa saya iaitu ……………. dan ibu saya …………….. yang senantiasa member dorongan, galakan, membantu mencari maklumat dan member bantuan kewangan sepanjang saya menjalankan tugasan ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan yang sudi b...

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 2 (2012)

1.0         TAJUK PENCEMARAN ALAM SEKITAR DI TAMAN KERAMAT AU3, KUALA LUMPUR, WILAYAH PERSEKUTUAN 2.0         SENARAI KANDUNGAN Bil Perkara/Butiran Halaman/Muka Surat 1.0 Tajuk 2.0 Senarai kandungan 3.0 Penghargaan 4.0 Pendahuluan 5.0 Objektif kajian 6.0 Kawasan kajian 7.0 Kaedah kajian 8.0 Dapatan Kajian 8.1      Konsep pencemaran alam sekitara 8.2      Jenis pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.3      Punca pencemaran alam sekitar di kawasan kajian. 8.4      Kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.5      Cadangan untuk mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian Bahan Grafik 9.0 ...