Langkau ke kandungan utama

Fenomena Budak Tahfiz Kutip Derma, tersentuh hati nurani keibuanku..

Fenomena pelajar-pelajar Tahfiz mengutip derma  telah menjadi perkara biasa sekarang ini.   Walaupun perkara ini telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun ia semakin berleluasa dan pihak  berkenaan yang menghantar budak-budak ini tidak takut lagi tindakan daripada pihak berkuasa dan mata-mata yang melihat.

Aku bukan apa, kasihan sungguh dengan budak-budak ni.  Hati nurani keibuanku terusik setiap kali bila melihat perkara ini. Aku selalu meletakkan anakku dalam situasi begini.  Hai.... kalau ketika ini anak-anak kita sedang bersama kita  menikmati juadah yang sedap-sedap atau sedang santai menonton rancangan-rancangan di TV, tetapi budak-budak Tahfiz ini masih ke hulu ke hilir dengan wajah yang lesu dan penat meminta sumbangan daripada orang ramai.  

Aku tak kisah menderma untuk budak-budak Tahfiz ini.  Walaupun rata-rata orang mengatakan bahawa ada dalang yang menghantar budak-budak ini untuk mengutip derma, tetapi aku tetap memberi.  Niat aku cuma satu, nak sedeqah sahaja untuk budak-budak ni. Budak-budak ini selalunya aku jumpa berkeliaran di pasar raya seperti Giant, Carrefour, Tesco, Jaya Jusco dan kedai-kedai makan.  Ada kalanya mereka mengutip derma dan ada kalanya mengadakan aktiviti jualan amal dengan membawa barangan seperti kalendar, CD, dan buku-buku agama untuk dijual.  Sebenarnya bila berhadapan dengan situasi begini, aku akan memerhati gelagat budak-budak ini dan juga gelagat orang ramai yang mereka temui.  Dari 10 - 15 orang yang ditemui, berapa orang yang sanggup menyeluk poket dan menderma?  Dari pemerhatian aku,  hanya 2 atau 3 orang sahaja yang sanggup menghulurkan derma.  Apa yang paling menyedihkan bila budak-budak ini ditemuduga/ditemubual oleh beberapa orang, tetapi berlalu dengan wajah kehampaan apabila tidak diberi sesen pun.   Pada hemat akulah, kalau betullah budak-budak ini memang mengutip derma untuk sekolah mereka, apa salahnya kalau kita derma sahaja secara ikhlas.  Kalau telah ditetapkan RM10 bagi melayakkan kita mendapat resit dan kita tak mampu untuk menderma sebanyak itu,  kita derma sahaja kurang daripada itu secara ikhlas.   Kalau dia menipu sekalipun, itu adalah antara dia dan Allah, niat kita memberi secara ikhlas, habis cerita.  Kita pun akan dapat pahala.

Yang paling latest cerita mengenai seorang budak Tahfiz yang aku temui pada hari Khamis  lalu di sebuah restoran mamak 24 jam bertempat di Ulu Klang.  Masa itu jam menunjukkan jam lebih kurang 10 malam.  Aku melihat seorang budak Tahfiz, mungkin seusia anak lelakiku dengan wajah yang letih lesu masuk ke restoran  menemui beberapa pelanggan keluarga muslim yang sedang menikmati hidangan di situ.  Dari sebuah meja ke sebuah meja ia bertandang. Seperti biasa, seperti aku nyatakan di atas tadi, berapa orang yang sanggup memberi dan menderma?  Nurani keibuan aku paling tersentuh ketika itu.   Duit telah aku keluarkan daripada dompetku.  Aku menunggu kehadirannya di meja kami, tetapi hampa.  Semasa berlalu untuk keluar dari restoran itu, dua orang anak muda memanggilnya.  Aku melihat ia ditemu bual oleh dua  anak muda ini, dan sebelum budak Tahfiz ini berlalu, dua anak muda ini telah menghulurkan RM kepadanya.  Syukur Alhamdulillah.... prihatin juga anak-anak muda ni!    Budak Tahfiz itu berlalu pergi tanpa berpatah balik, sedangkan aku masih mengharapkan kehadirannya.

Semasa di dalam kereta, aku memang berasa sedih.  Niatku tidak kesampaian.  Duit yang aku keluarkan tadi, aku masukkan kembali di dalam dompet.  Tetapi hati nuraniku mengatakan budak Tahfiz itu masih berada di kawasan berkenaan. Aku perlu mencarinya untuk memberi duit ini, bisik hatikku.  Satu pusingan dibuat tetapi masih tidak ditemui.  Kenapa cepat sangat dia menghilang?  Mungkin telah diambil oleh ustaznya.  Masa itu jam menunjukkan jam 10.20 malam.  Aku tidak puas hati dan membuat satu pusingan lagi. Dalam samar-samar kegelapan di seberang jalan aku ternampak seorang budak sedang duduk seorang diri di tempat letak kereta.  Memang tidak syak lagi itulah budak Tahfiz tadi.  Suamiku memberhentikan kereta dan memanggil budak Tahfiz itu.  Bila ditanya tunggu siapa, dia menjawab tunggu ustaz mengambilnya. Sempatlah juga aku dan suami mewawancaranya.  Budak ini berasal dari Johor dan merupakan pelajar Tahfiz Amal di Yan Kedah. Datang ke sini sejak dua hari yang lalu untuk memungut derma.  Ustaz yang membawa mereka. Itulah serba sedikit maklumat yang diperolehi.  Tak tahulah sama ada itu adalah skrip jawapan standard yang telah diset oleh pihak yang berkenaan.  Suamiku dua tiga kali berpesan supaya duit yang diberi itu, guna untuk makan aje.  Tak perlu keluarkan resit.  Selepas mengucapkan terima kasih, dia berlalu pergi.  Aku melihat dia masuk ke kedai makan. Besar kemungkinan dia lapar, tetapi tidak ada duit untuk makan tadi.  Aku juga pernah mendengar cerita daripada kawan-kawanku, kalau tak cukup target kutipan harian, budak-budak ni tak akan diberi makan oleh ustaz mereka.   Sama ada betul atau tidak, tak tahulah, sebab budak-budak Tahfiz ini bila kita tanya banyak-banyak, dia akan mendiamkan diri.  

Apa yang menjadi persoalannya sekarang  ialah kenapa pihak sekolah Tahfiz membiarkan anak-anak di bawah umur sebegini mengutip derma dan melakukan jualan aktivti amal sehingga malam hari tanpa ditemani oleh orang-orang dewasa, iaitu ustaznya sendiri.  Tak takutkah budak-budak ini diculik atau diperlakukan apa sahaja oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab.  Pernah dilaporlan juga berlaku kemalangan yang meragut nyawa ketika melakukan aktiviti mengutip derma ini. Adakah ibubapa budak-budak Tahfiz ini tahu aktiviti anak-anak mereka?  Ibubapa sanggup berkorban menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz untuk belajar agama bagi melahirkan seorang insan bernama Tahfiz, tetapi  adakah ini ranjau dan dugaan yang wajib dan harus dihadapi oleh budak-budak ini sebelum bergelar Tahfiz?   Kasihan budak-budak Tahfiz ini.  Adakah mereka redha?  Semoga mereka senantiasa dilindungi dan diberkati oleh Allah.  Amin...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

Catatan popular daripada blog ini

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 2 (2012)

1.0         TAJUK PENCEMARAN ALAM SEKITAR DI TAMAN KERAMAT AU3, KUALA LUMPUR, WILAYAH PERSEKUTUAN 2.0         SENARAI KANDUNGAN Bil Perkara/Butiran Halaman/Muka Surat 1.0 Tajuk 2.0 Senarai kandungan 3.0 Penghargaan 4.0 Pendahuluan 5.0 Objektif kajian 6.0 Kawasan kajian 7.0 Kaedah kajian 8.0 Dapatan Kajian 8.1      Konsep pencemaran alam sekitara 8.2      Jenis pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.3      Punca pencemaran alam sekitar di kawasan kajian. 8.4      Kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian 8.5      Cadangan untuk mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar di kawasan kajian Bahan Grafik 9.0 Rumusan 10.0 Lampiran ·         Foto pencemaran alam sekitar ·         Borang soal selidik 11.0 Rujukan

BANGUNAN SULTAN ABDUL SAMAD

Nama Bangunan Nama bangunan ini ialah Bangunan Sultan Abdul Samad. Asalnya hanya disebut sebagai `Bangunan’ sebelum ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad. Nama bangunan ini diambil sempena nama DYMM Sultan Negeri Selangor, Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah yang memerintah pada ketika itu (1957 – 1898). Latar Belakang Bangunan Sultan Abdul Samad ialah sebuah bangunan yang penuh dengan warisan dan kebudayaan dan masyhur dengan keunikan dan identiti seni bina dan sentiasa dipandang tinggi oleh negara lain. Ia menjadi salah satu bangunan bersejarah yang menjadi kebanggaan dan sanjungan rakyat Malaysia. Sering kali bangunan ini menjadi mercu tanda yang terkenal dan sangat sinonim dengan bandar raya Kuala Lumpur hatta Negara Malaysia kerana di sinilah tempatnya orang ramai menyambut perayaan-perayaan penting seperti Sambutan Tahun Baru, Sambutan Hari Merdeka, serta acara-acara yang berkaitan dengan pelancongan negara. Asal-usul Sejarah awalnya bermula pada t

FOLIO GEOGRAFI TINGKATAN 1

Bentuk Muka Bumi dan Potensi di Kawasan Setiawangsa  dan Perbandingannya dengan Negara Indonesia Contoh folio ini adalah folio anak saya yang belajar di Tingkatan 1 yang disiapkan dengan bimbingan saya.  Dipaparkan untuk dikongsi bersama. Semoga ia dapat dijadikan contoh kepada anak-anak yang seangkatan dengannya.  PENGHARGAAN Saya dapat menyiapkan folio Geografi  saya dengan sempurna kerana bantuan dan kerjasama daripada beberapa pihak. Sekalung budi kepada guru mata pelajaran Geografi Tingkatan 1 saya iaitu Puan ...................... yang telah memberikan penerangan tentang format folio Geografi, dan memberi tunjuk ajar semasa proses pembuatan folio ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada bapa saya iaitu ……………. dan ibu saya …………….. yang senantiasa member dorongan, galakan, membantu mencari maklumat dan member bantuan kewangan sepanjang saya menjalankan tugasan ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada rakan-rakan yang sudi berkongsi maklumat b